Terletak di pinggiran Eropah yang memiliki cerita dan sejarah tersendiri - Normandy terbentang sebagai destinasi sempurna musim semi. Marta Romashina seorang jurugambar dan jurnalis dari Paris berkongsi kisahnya.

Kesejukan di Paris membuatkan saya mahu melarikan diri seketika mencari destinasi yang mampu mengubah sebuah sudut pandang dan pada masa yang sama mencari pengisian jiwa yang lebih bermakna. Normandy seperti satu isyarat untuk saya mengembara bersama kamera dan menempah tiket kereta api sambil menikmati keindahan bentuk muka bumi yang ada di sepanjang perjalanan.
ILHAM BUKOLIK
Saya memulakan kembara ini dengan hentian pertama di La Chaumière yang bagaikan penuh dengan cerita berbeza dengan apa yang biasa saya lalui. Menyambut ramah saya di sini adalah seekor kucing yang mereka panggil Diego. Melewati pula sudut rekaannya yang penuh nilai tradisi dan warisan saya tertarik pada atap jerami dan struktur kayu bersama sudut-sudut rehat yang ada di sini. Cukup selesa.
Apa yang ditawarkan di hotel ini adalah kesederhanaan - homemade breakfast seperti croissant bersama jem yang cukup klasik sehingga makan malam dengan pilihan makanan laut yang segar menjadi jamuan pembangkit selera bagi setiap pengunjung yang tinggal di sini. Malamnya pula anda akan ditemani suara pungguk dan bintang bertaburan indah di langit.

DI PERSIMPANGAN PERJALANAN
Setelah relaks di La Chaumière, perjalanan saya diteruskan melewati pekan indah Honfleur yang menjadi destinasi untuk bersiar-siar yang tepat. Jalan di sepanjang pekan ini dipenuhi dengan rangkaian peruncitan yang menarik. Dapatkan pelbagai pilihan sider yang dibuat segar dan jangan lupa membeli poskad menarik sebagai bingkisan.
Menelusuri pula Deauville dan Trouville membawa pula saya menikmati keindahan bandar di tepian laut yang memberi perasaan berbeza. Berjalan di sepanjang jalan utamanya seperti melewati keindahan yang dirakam dalam sebuah gambar yang penuh nilai nostalgia.
A NOBLE RETREAT
Château La Chenevière menjadi destinasi prestij yang harus dikunjungi. Kawasan dengan tanah seluas 12 hektar ini terletak di pinggiran Normandy dan dibina kira-kira lewat abad ke-18. Sepanjang ia berdiri megah sebagai bangunan warisan, bangunan ini sudah melalui beberapa transformasi bagi mengekalkan nilai sejarahnya. Disempurnakan dengan sebanyak 29 bilik yang cukup eksklusif, suite yang menjadi tempat saya bermalam ini lengkap dengan pemandangan yang penuh kehijauan.

REFLEKSI DIRI
Normandy membuat saya berfikir ia sebuah destinasi yang memiliki keunikan yang tersendiri. Tidak terlalu sibuk dengan pengunjung tetapi masih bergerak sebagai destinasi yang cukup menenangkan.
Masa bagai berjalan perlahan di sini dan apa yang ditawarkan adalah sebuah perjalanan yang memberi refleksi pada diri tanpa gangguan. Momen yang dilalui benar-benar dirasai dan membekas di hati. Percutian ini membuatkan saya mengingatkan kembali diri untuk menghargai hal-hal kecil dan sederhana.