Anugerah Academy ke-97 atau Oscars 2025 berlangsung semalam dan seperti biasa, rasa teruja berkocak dalam hati – apalagi pre-show, mencungkilkan antisipasi kita untuk membuat ramalan siapa bakal menang. Meneropong Oscars kali ini, ada beberapa detik yang menyenangkan hati. Seperti kemenangan besar filem ‘Anora’, Adrien Brody raih anugerah ‘Best Actor’ buat kedua kalinya, Zoe Saldana menjadi pelakon Dominican-American yang menang dan ‘No Other Land’ menggondol ‘Best Documentary Feature Film’.

Dalam pada merai kemanisan kejayaan-kejayaan ini, tak kurang juga ia beragaman ke hal-hal yang kurang enak, yang menjadi perbincangan orang di Threads. Biasalah, ada sahaja yang kurang berpuas hati. Barangkali tidak menepati kehendak mereka? Atau ada detik-detik yang dirasakan cringey?
Antara hal-hal yang kurang enak di Oscars 2025 (berdasarkan pemerhatian orang di Threads) :
Kemenangan Mikey Madison dikatakan realiti ‘The Substance’ yang menyakitkan pelakon senior
Seperti apa yang ditulis dalam Threads “…If you understood ‘The Substance’, the irony of Demi Moore losing to a 25-year-old…” Ya, kendatipun kemenangan Mikey Madison yang meraih ‘Best Actress’ dikatakan melakar sejarah, – kerana dia pertama kali tercalon dan antara pemenang ‘Best Actress’ termuda – ada yang mengatakan bahawa itulah gambaran realiti filem ‘The Substance’. Kekalahan Demi Moore umpama mencerminkan plot cerita sebenar ‘The Subtance’ yang mengisarkan ketuaan usia merusuhkan jiwa kerana kecundang dengan faktor usia muda.

Adrien Brody agak membosankan dan tidak beradab
Satu lagi kemenangan yang mencipta sejarah. Adrien Brody dua kali meraih anugerah ‘Best Actor’. Namun ucapannya kali ini ketika naik pentas menerima anugerah tersebut menjadi bualan orang ramai. Kerana ia dikatakan agak panjang, membosankan dan memakan hampir lima minit lebih untuk mendengar dia ‘melompong’. Malah, aksinya membaling gula-gula getah kepada isterinya juga dikatakan agak tidak beradab. Hal ini terjadi sejurus selepas namanya diumumkan dan detik sebelum naik ke pentas, dia membaling gula-gula getah itu.

Kontroversi ‘Emilia Perez’, pasca-Oscars
Zoe Saldana menggondol anugerah untuk filem ‘Emilia Perez’ dan secara tidak langsung, ‘membersihkan’ sedikit kontroversi yang membelenggu filem tersebut. Apa yang menjadi hal kurang senang adalah tiada penghargaan buat komuniti trans yang diucapkan oleh sebarisan pelakon serta produksi ‘Emilia Perez’ sebaik sahaja memenangi anugerah. Padahal filem itu berpusat pada isu komuniti trans.

Oscars tidak memberi penghormatan buat Michelle Trachtenberg
Ketika segmen memberi penghormatan ‘In Memoriam’ kepada bintang-bintang Hollywood, Oscars tidak meletakkan Michelle Trachtenberg dalam senarai tersebut dan bikin orang lain rasa tidak berpuas hati. Pelakon siri ‘Gossip Girl’ ini meninggal dunia minggu lalu dan pada hari yang sama, tergempar berita Gene Hackman yang juga dijumpai mati. Namun, memoriam Oscars menyenaraikan Gene Hackman dan… terlupa meletakkan Michelle Trachtenberg?

Hulu crashed sebelum mengumumkan dua anugerah terpenting
Siaran tergendala, betul-betul ketika pengumuman anugerah terpenting Oscars. Apalagi ketika pengumuman ‘Best Actress’ dan ‘Best Picture’! Sejurus selepas tergendala, terus keluar mesej “Thank you for watching! This live event has now ended. You may exit playback and select something else to watch." Yang membarai hati semua orang yang sedang menontonnya.
