
Adaptasi daripada novel ke layar perak sentiasa menjadi ilham pengkarya filem Indonesia menghasilkan satu seni visual daripada cerita yang ditulis. Kejayaan Laskar Pelangi, Perahu Kertas, Tenggelamnya Kapal Van Der Vick dan beberapa yang lain sudah menciptakan fenomenanya yang tersendiri.
Peralihan novel ke skrin itu kadang datang dengan cabaran yang besar kerana expectation penonton yang sudah membaca novel pasti akan datang dengan idea mereka yang tersendiri. Hanung Bramantyo bukanlah pengarah yang asing dalam hal peralihan ini.
Sebelum ini Hanung sudah meramu naskhah adaptasi seperti Ayat-Ayat Cinta, Bumi Manusia dan Perempuan Berkalung Sorban yang diraikan dengan cukup luar biasa penonton filem nusantara. Dan tahun ini sekali lagi Hanung meneruskan ilham tersebut dengan mengadaptasi novel karya Puthut EA berjudul "Cinta Tak Pernah Tepat Waktu".
SINOPSIS
Cinta Tak Pernah Tepat Waktu membawa kisah watak utamanya, Daku lakonan Refal Hady merupakan seorang penulis yang sering tewas dalam percintaan. Tidak bersedia menggalas tanggungjawab bergelar seorang suami, kisah cinta Daku berhujung kekecewaan. Setiap wanita yang mendekatinya memilih untuk meninggalkannya dan mencari cinta sejati mereka.
Sehinggalah dia bertemu Sarah (Mira Filzah) seorang Doktor yang bertugas di Indonesia membuatkan Daku pasti bahawa dialah cinta sejati buatnya dan terbuka untuk mendirikan rumah tangga. Namun tragedi terjadi - Sarah dilaporkan meninggal dalam satu nahas kapal terbang pulang ke Kuala Lumpur. Di sini pandangan hidup Daku berubah dan menjadikan Cinta Tak Pernah Waktu sebuah filem yang lebih menarik ceritanya.

PLOT LINEAR
Cinta Tak Pernah Tepat Waktu digerakkan sebagai sebuah kisah cinta daripada sudut pandang seorang lelaki. Tentang waktu yang tidak pernah berpihak padanya dan tentang cinta yang membuatkan dia semakin tidak pasti dengan apa adanya.
Garapan Hanung sederhana di keseluruhan cerita. Banyak hal yang diduga dan mudah dijangka terjadi agak klise. Plot cerita ini disusun linear tanpa ada hal baru pada strukturnya dan sejujurnya filem ini agak terburu bagi saya. Kisah Daku dan Sarah tidak dibentuk dengan solid sehingga mampu membuatkan kita sebagai penonton percaya itu adalah cinta sebenar Daku.
Sepatutnya, Hanung memberi lebih ruang untuk mengeksplorasi rasa cinta Sarah dan Daku sebelum mematikan watak Sarah yang terlalu mengejut itu. Lakonan Refal Hady semakin baik di filem Cinta Tak Pernah Tepat Waktu ini, tidak lagi kekok dan lebih santai bersahaja.