Kadang-kala hendak melakukan sesuatu rutin penjagaan wajah itu pasti akan teringat kata-kata atau tip orang tentang sesuatu benda itu. Sebagai contoh, mitos cantik seperti "basuh muka dengan air panas, nanti boleh membuka liang pori, kemudian bilas pula dengan air sejuk, ia membantu menutup kembali liang pori", "tidak perlu memakai pelindung sinar di dalam rumah, bukannya kulit terdedah kepada cahaya matahari" dan bermacam lagi.
Saya yakin ramai yang sudah menyedari tentang kesahihan sesuatu mitos itu, namun buat anda yang masih berjinak-jinak dalam dunia kecantikan dan penjagaan wajah, ayuh saya senaraikan beberapa mitos serta salah anggap yang berlaku di kalangan pencinta kecantikan ini.
ELLE Merungkai Mitos Cantik, Benar Atau Tidak?
#1 Mereka yang berkulit gelap tidak perlu memakai pelindung sinar
TIDAK BENAR.
Mungkin anda pernah mendengar tentang mereka yang berkulit gelap ini memiliki risiko yang lebih rendah dalam mendapat masalah kulit penuaan pramatang juga penyakit kanser kulit. Ini adalah kerana golongan ini memiliki kadar melanin yang tinggi dalam kulit. Walaupun kadar melainin tinggi tidak bermakna melanin sendiri sahaja dapat menghalang seratus peratus terikan cahaya UV. Melanin sendiri tidak mampu menjadi penghalang ulung sinaran bahaya ni. Mungkin anda menyangka kulit yang gelap tidak akan mudah terbakar dan menjadi tan, tetapi percayalah lama-kelamaan, golongan ini jika tidak mengamalkan penggunaan pelindung sinar berterusan, kesannya akan nampak suatu hari nanti. Segala tanda-tanda gelap, kedutan dan kekusaman akan terserlah jika tidak dijaga.
#2 Jika sesuatu produk itu tidak membuatkan kulit meredang serta-merta, maka ia selamat digunakan.
TIDAK BENAR.
Walaupun kulit anda tidak meredang saat anda menyapu produk kecantikan, tidak bermakna ia elok dan selamat digunakan. Kajian telah membuktikan bahawa bahan kandungan seperti haruman, SD alkohol (specially denatured alcohol), mint, sitrus juga minyak pati aromatik adalah bahan yang sememangnya akan merosakkan kulit walau anda merasakan atau tidak rangsangan pada kulit wajah ini. Tanpa disedari, bahan kandungan ini sebenarnya akan merosakkan lapisan kulit paling bawah dan merangsang keradangan serta mempercepatkan tanda penuaan pada kulit.
#3 Anda tidak boleh gunakan retinol sekali bersama produk exfoliant AHA atau BHA dalam satu masa kerana ia hanya akan mengurangkan keberkesanan retinol itu.
TIDAK BENAR.
Tiada kajian yang mengesahkan kenyataan di atas. Katanya kadar pH yang rendah di dalam sebuah produk leave-on exfoliant akan melemahkan manfaat retinol. Itu tidak benar, kerana retinol sendiri aktif secara semula jadi dalam kulit dan ia tidak akan terkesan daripada manfaat pH ini tadi. Malah fungsi AHA dan BHA ini adalah dalam menjadi pintu laluan kepada semua produk lain menyerap lebih cepat ke dalam kulit. Kajian juga telah membuktikan bahawa penggunaan retinoid bersama AHA dan BHA yang efektif mampu membantu memperkuatkan lagi manfaat dan fungsi masing-masing.
Sumber: Paula Begoun dan Paula's Choice Research & Education Team