Langgan

Ini Adalah Filem-Filem Wajib Tonton Dari Festival Filem Perancis 2025

Sebuah sinematik Perancis yang indah.
3 minit untuk membaca
Published: May 12, 2025
Foto Ihsan Agat Films

Festival Filem Perancis kembali, dan untuk tahun 2025, 13 karya sinematik dipilih dan pastinya akan mengukir senyuman di wajah semua pencinta layar. Dianjurkan dengan penuh elegan oleh Alliances Françaises de Malaisie dan Kedutaan Perancis di Malaysia, festival ini meraikan tahun ke-23 kehadirannya di Malaysia dengan nafas baharu—melangkaui sempadan Kuala Lumpur hingga ke Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kuching, bermula 15 Mei hingga 1 Jun, bergantung pada negeri tempat anda berada.

Tahun ini, Festival Filem Perancis 2025 tampil dengan wajah yang lebih gemilang dan kini menjadi sebahagian daripada Le French Festival—satu sambutan sepanjang sembilan bulan. Disirami elemen à la française, festival ini membawa kita menelusuri warisan budaya agung yang telah membentuk dunia—dari lembaran sastera ke melodi merdu, dan tentunya ke layar perak yang memukau jiwa. Sinema Perancis, sejak dahulu tidak sekadar hadir sebagai tontonan, tetapi sebagai puisi visual yang memenangi hati dan penghargaan, termasuk di pentas gah Anugerah Akademi. Tahun ini, naskhah animasi Flow, yang meraih trofi Ciri Animasi Terbaik di Anugerah Akademi ke-97, turut dipersembahkan sebagai hadiah istimewa buat penonton Malaysia.

Daripada drama yang meruntun jiwa hingga ke naskhah seram yang cukup emosi, barisan filem tahun ini adalah seleksi cinéma yang sungguh magnifique.

Sugar and Stars (A la belle étoile

Pembuka tirai festival filem kali ini ialah Sugar and Stars, filem sulung arahan Sébastien Tulard yang sebelum ini pernah menjadi penolong pengarah kepada beberapa komedi Perancis yang berjaya. Filem ini mengisahkan kisah benar yang menginspirasi tentang Yazid Ichemrahen, seorang ‘underdog’ yang menempuh zaman kanak-kanak penuh cabaran namun tetap teguh mengejar impiannya dalam dunia pastri, sehingga berjaya menjadi cef pastri bertaraf dunia. Bersedialah untuk dibawa ke dunia emosi yang menyentuh hati, disertai adegan pembuatan pastri yang pasti membuat anda terliur.

The Marching Band (En fanfare)

Foto Ihsan Agat Films

Mengisahkan perjalanan Thibaut, seorang maestro ternama bertaraf antarabangsa yang mengetahui bahawa dirinya anak angkat, mula menjalinkan semula hubungan dengan abang kandungnya, Jimmy — seorang pemain trombon santai dalam kumpulan pancaragam di utara Perancis. Menyelami suka duka kehidupan dua beradik ini, filem yang bersinar ini menyampaikan satu mesej yang cukup bermakna: muzik sebagai bahasa sejagat, mampu merobohkan tembok pemisah termasuk jurang sosial. Dengan senerai runut soundtrack yang mengagumkan — menampilkan susunan semula karya klasik yang memukau — filem ini bakal memaku anda di tempat duduk, bahkan sehingga penutup kredit yang berjela.

Flow (Flow, le chat qui n’avait plus peur de l’eau

Foto Ihsan @flowmovie2024

Bagi sebuah krew filem kecil, self-taught animator dan pembikin filem, Gints Zilbalodis berjaya meraih pelbagai anugerah berprestij menerusi filem ini. Kisah yang memukau dari segi visual ini mengikuti pengembaraan seekor kucing yang berjuang untuk terus hidup di tengah-tengah perubahan alam sekitar yang dahsyat dalam sebuah dunia pasca-apokalips. Antara keistimewaan utama filem ini ialah cara haiwan-haiwan digambarkan—dengan keaslian sepenuhnya—menggunakan bunyi sebenar haiwan tanpa suara pelakon, serta tanpa dialog atau unsur personifikasi, namun tetap mampu menyampaikan emosi dan jalan cerita dengan penuh kesan.

The Count of Monte Cristo (Le Comte de Monte-Cristo

Foto Ihsan Samuel Goldwyn Films

Jika fiksyen sejarah adalah genre kegemaran anda, The Count of Monte Cristo pasti memenuhi cita rasa layar perak anda. Adaptasi daripada novel klasik karya penulis Perancis tersohor, Alexandre Dumas—yang turut menghasilkan The Three Musketeers—filem berdurasi tiga jam ini bakal membuat anda duduk resah tanpa diam. Mengisahkan seorang kelasi muda—dilakonkan oleh pelakon terkenal Perancis, Pierre Niney—yang selepas dipenjarakan secara tidak adil, kembali dengan identiti baharu sebagai Count of Monte Cristo untuk menuntut pembalasan. Mengheret kita ke dalam dunia penuh pengkhianatan, dendam dan keadilan, filem yang mendebarkan ini wajib ditonton, terutamanya jika anda mencari ledakan adrenalin yang penuh gaya.

Rosalie

Foto Ihsan Artemis Production

Sebuah filem era yang puitis, Rosalie mengungkapkan kisah yang menyentuh hati tentang seorang wanita berjanggut (Nadia Tereszkiewicz) yang bertekad untuk menerima dirinya dan mencabar norma-norma masyarakat pada tahun 1870-an—yang lebih mudah diucapkan daripada dilakukan. Diarahkan oleh Stéphanie Di Giusto, Rosalie diilhamkan daripada kehidupan wanita terkenal abad ke-20 yang dikenali sebagai “bearded lady”, Clémentine Delait. Berlatarbelakangkan landskap indah kawasan luar Brittany, filem ini merakamkan perjalanan Rosalie untuk menerima diri sendiri, sebuah karya yang lembut dan halus, namun malangnya diselubungi nuansa tragis.

A Little Something Extra (Un p’tit truc en plus)

Foto Ihsan Unifrance

Mudah untuk fahami mengapa A Little Something Extra menjadi fenomena box-office Perancis—salah satu filem dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman. Dibintangi oleh barisan pelakon kurang upaya yang kebanyakannya merupakan pelakon tidak profesional, filem ini adalah karya sulung yang mengharukan oleh pelawak Perancis yang popular, Artus. Ketika seorang penjenayah terkenal bersama anaknya melarikan diri dari polis selepas merompak permata berlian, mereka mencari perlindungan di sebuah kem musim panas untuk golongan dewasa muda dengan kecacatan. Perjalanan yang tidak dijangka ini membawa mereka ke satu pengalaman yang akan mengubah hidup mereka—dan kita, penonton—selama-lamanya.

Tiket untuk Festival Filem Perancis boleh dibeli bermula 8 Mei melalui www.gsc.com.my atau melalui e-kios di pawagam GSC yang terpilih.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down