‘Declutter’ dan ‘organize’ almari bukan sekadar kerja-kerja rumah seperti membasuh atau melipat pakaian. Ia merupakan lebih daripada itu - Ia adalah sebuah proses yang memerlukan kesedaran yang mendalam, perhatian terhadap setiap butiran kecil serta belajar untuk jujur dengan gaya tersendiri. Pengaturan atau penyusunan pakaian bukan hanya tentang membersihkan ruang, tetapi juga tentang membebaskan minda dan jiwa bagi mencipta keharmonian untuk kehidupan seharian.
Bagi memberikan panduan untuk mengubah lemari menjadi ruang baju yang lebih teratur dan cerminan tepat buat gaya peribadi anda, penulis fesyen kali ini berpeluang menemu bual Aimanness. Dengan pengalaman luas dalam membantu ramai orang mencipta sistem almari yang lebih berfungsi, beliau berkongsi rahsia dan tip-tip eksklusif khas buat pembaca-pembaca ELLE. Dan apa yang lebih sempurna daripada menjadikan proses ini sebagai persiapan anda menyambut perayaan yang bakal tiba?
Langkah-langkah mengatur almari
Langkahnya mungkin tidak banyak, namun yang benar-benar mencabar adalah komitmen masa yang diperlukan bagi menyempurnakan setiap proses.
1. Keluarkan kesemuanya
Keluarkan setiap inci pakaian yang tersembunyi dan letakkannya di atas lantai. Dari situ, mata anda akan terbuka luas, menyaksikan dengan jelas betapa banyaknya barang yang dimiliki. Inilah saat di mana anda benar-benar menyedari sejauh mana almari anda telah ‘membesar’ tanpa disedari.
2. Kategorikan pakaian
Kumpulkan setiap pakaian mengikut kategori masing-masing. Sebagai contoh, baju kerja, baju rumah, baju kurung serta baju-baju lain yang mempunyai tujuan dan fungsi tersendiri. Jangan biarkan koleksi pakaian anda itu berterabur dan bercampur aduk di tempat yang tidak sama.
3. Declutter
Gunakan kaedah ‘spark joy’ sebagai panduan dalam proses mengurangkan atau membuang pakaian yang tidak lagi diperlukan. Tanyakan pada diri sendiri dan jawab dengan penuh kejujuran, "adakah baju ini masih muat dan selesa?" atau "adakah ia masih mencerminkan gaya saya?". Jika ada kelapangan, luangkan masa untuk mencuba setiap helai pakaian. Simpan pakaian yang mampu memberi kegembiraan dan memberikan keyakinan sahaja. Ketepikan pakaian yang sudah tidak relevan, pilih sama ada ingin recycle, berikan kepada orang lain atau menjualnya, mengikut kondisi pakaian tersebut.
4. Susun semula mengikut warna
Dengan menyusun pakaian mengikut palet warna, anda dapat melihat dengan lebih jelas warna yang mendominasi atau menyedari warna yang jarang digunakan. Jika mendapati anda tidak menggemari warna tersebut, berhenti membelinya di masa hadapan. Susunan warna yang teratur juga memudahkan proses pemilihan pakaian setiap hari, sama ada untuk tampilan profesional di tempat kerja atau gaya kasual. Dengan cara ini, anda juga dapat mencipta penampilan yang lebih efisien dan harmoni tanpa perlu menghabiskan banyak masa bagi mencari pakaian yang sesuai. Jika ruang agak terhad, pakaian kasual boleh digantung dengan rapi agar mudah dicapai dan dilihat. Sementara pakaian seperti t-shirt atau pakaian rumah boleh dilipat dengan kemas.
Mengenali Aimanness
Muhammad Aiman bin Harun atau lebih dikenali sebagai Aimanness mencipta nama dalam industri fotografi selama 10 tahun. Namun ketika dunia fotografinya terhenti akibat pandemik, Aimanness menemui kecintaannya terhadap aktiviti pengaturan ruang. Bermula dari niat mencipta ruang selesa di biliknya, ia beralih menjadi satu profesion yang memberi kepuasan diri dan terapi minda buatnya. Siri ‘Tidying Up with Marie Kondo’ di Netflix turut menjadi inspirasi kepada penubuhan Aimade.
*Baca artikel penuh bersama Aimanness menerusi isu Februari 2025 di pasaran. Gambar daripada Aimanness.