Bersempena dengan pembukaan butik pertama Fauré Le Page di Suria KLCC, kami berpeluang berbicara dengan pengarah kreatifnya, Augustin de Buffévent, untuk mendalami legasi bersejarah, falsafah reka bentuk serta seni menggoda yang menjadi nadi jenama mewah ini.
Tahniah atas pembukaan butik pertama Fauré Le Page di Kuala Lumpur! Apa yang mengilhamkan keputusan untuk akhirnya membawa jenama ini ke pasaran Malaysia?
Ia terasa seperti pilihan yang jelas. Everything starts with passion dan saya benar-benar menyukai Kuala Lumpur. Bandar ini adalah gabungan budaya yang indah, menawarkan inspirasi yang luar biasa. Saya pernah ke sini sebelum ini dan jatuh cinta dengan energinya – dan tentunya makanannya! Ia antara yang terbaik di dunia.
Moto jenama ini, Armes pour Séduire (Armed for Seduction), melambangkan idea bahawa cinta adalah satu perjuangan. Di sebuah bandar pelbagai budaya seperti Kuala Lumpur, falsafah ini amat relevan. Selain itu, rakyat Malaysia terkenal dengan cita rasa mereka yang sofistikated, selari dengan nilai jenama kami.
Boleh kongsikan kisah di sebalik estetika reka bentuk Fauré Le Page yang begitu istimewa?
Setiap jenama mewah memiliki cerita uniknya tetapi cerita kami benar-benar luar biasa. Fauré Le Page bermula sebagai pembuat senjata mewah menghasilkan senjata untuk golongan aristokrat, raja dan maharaja di seluruh Eropah. Marie Antoinette sendiri pernah menjadi pelanggan kerana beliau gemar memburu. Selain senjata, jenama ini turut menghasilkan barangan kulit untuk membawa senjata tersebut seperti beg yang ringan dan tahan lasak untuk peluru dan barangan peribadi. Seiring perkembangan kami, kami membuat keputusan untuk meninggalkan pembuatan senjata dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada beg, yang kami bayangkan semula sebagai ‘senjata untuk menggoda.’ Motif scale ikonik kami mencerminkan warisan ini. Ia menyerupai perisai, melambangkan kekuatan, perlindungan dan godaan. Setiap elemen, seperti tali bahu yang diilhamkan oleh pakaian seragam tentera atau kancing yang menyerupai laras revolver, menghormati sejarah kami sambil memberikan elemen fesyen yang menarik.
Mengenang semula legasi jenama ini, adakah terdapat cerita yang paling memberi makna kepada anda?
Ada begitu banyak! Tetapi salah satu yang paling menonjol ialah peranan Fauré Le Page dalam Revolusi Perancis. Keluarga Le Page membekalkan senjata kepada para revolusioner, satu detik penting dalam sejarah. Luar biasa rasanya untuk terhubung dengan peristiwa besar seperti ini, terutamanya kerana Revolusi Perancis melahirkan Deklarasi Hak Asasi Manusia dan Warganegara. Untuk menjadi sebahagian daripada detik sejarah epik ini adalah sesuatu yang sangat bermakna.
Apakah pendekatan anda terhadap reka bentuk dan pelancaran item Fauré Le Page?
Kami tidak terikat dengan rentak pantas fesyen. Sebagai sebuah maison kecil dan eksklusif, kami mengambil masa untuk menyempurnakan setiap produk. Setiap item melalui ujian ketahanan yang teliti. Sebagai contoh, proses percetakan kanvas kami memerlukan keadaan kelembapan dan tekanan yang tepat. Ia hampir seperti seni. Kami melancarkan produk apabila ia sedia, bukan untuk memenuhi jadual bermusim. Ini mencerminkan falsafah kami: Cinta memerlukan masa. Setiap item dibuat dengan teliti dan eksklusif, menjadikannya lebih daripada sekadar barangan. Dan tentunya, seni penggodaan selalu melibatkan elemen surprise.
Bagaimana anda menggambarkan butik baharu ini?
Butik kami direka untuk berasa seperti rumah. Ruang yang selesa dan intim yang mencerminkan nilai-nilai perniagaan keluarga kami. Kami bekerjasama dengan Jean Gatineau, seorang arkitek Perancis yang berbakat, untuk mencipta suasana yang menggabungkan daya tarikan pangsapuri Paris dengan sentuhan playful yang tidak dijangka. Sebagai contoh, terdapat meja berbentuk daisy di mana pelanggan boleh “menguji cinta mereka”. Ini bukan sekadar ruang membeli-belah; ia adalah pengalaman yang mengajak anda untuk mendalami dunia kami yang penuh dengan sejarah, ketukangan dan romance.