6 Girl Power Anthems Pilihan ELLE: Lagu Wanita, Suara dan Kebebasan

Merentasi genre pop, alternatif dan K-pop, karya-karya ini bukan sekadar menawarkan melodi yang mudah melekat di ingatan, malah membawa mesej tentang identiti, harga diri dan kekuatan wanita. Berikut enam girl power anthems pilihan ELLE yang wajar berada dalam senarai main anda tahun ini.

Girl Power Anthems pilihan ELLE

1. 'Petal' – Ariana Grande

'Petal' daripada Ariana Grande sekali lagi memperlihatkan sisi artistiknya yang lebih berani dan introspektif. Mengangkat tema tekanan serta proses mengenali kekuatan diri di sebalik segala penilaian luaran. Di dalam video muziknya menampilkan Ariana berdepan penolakan ketika menghadiri sesi uji bakat. Naratif tersebut memberikan gambaran tentang tekanan untuk memenuhi jangkaan industri hiburan, khususnya terhadap penampilan dan kebolehan seseorang wanita. Di sebalik imej yang sering dituntut sempurna, petal mengingatkan bahawa nilai seorang wanita tidak seharusnya ditentukan oleh penerimaan orang lain.

Girl Power Anthems
Kulit Album Petal dari Spotify

2. 'Housewife' – Tate McRae

Karya Tate McRae ini mencatat pencapaian memberangsangkan apabila debut di kedudukan pertama carta Billboard Global 200 dan Spotify Global. Lebih menarik, Tate turut mempersembahkan lagu ini di pentas Victoria’s Secret Fashion Show 2026. Korusnya yang menyebut keinginan untuk memperoleh kekayaan sendiri dan menjadi housewife atas pilihannya, membawa perspektif bahawa wanita mampu mengejar kejayaan, membina kestabilan kewangan dan menentukan sendiri kehidupan yang ingin dimiliki. Menjadi seorang wanita bekerjaya serta menceritakan kehidupan domestik bukanlah sesuatu yang perlu ditentukan oleh jangkaan masyarakat.

Girl Power Anthems
Visual Promosi Housewife dari Spotify

3. 'Stop The Wedding!' – Ashe

Tular sebagai antara perbualan muzik di media sosial, 'Stop The Wedding!' oleh Ashe mengetengahkan sebuah naratif yang cukup menarik tentang keputusan sebelum melangkah ke alam perkahwinan. Menerusi lirik seperti “You can burn the dress, and run away”, Ashe menggambarkan bahawa sebuah keputusan tidak semestinya perlu diteruskan hanya kerana segala persiapan telah dilakukan dengan harapan orang sekeliling. Sebuah peringatan bahawa wanita juga berhak menentukan masa depan dan kebahagiaan mereka sendiri.

Girl Power Anthems
Visual Promosi Stop The Wedding! dari Spotify

4. 'PINKY UP' – KATSEYE

KATSEYE menerusi single 'PINKY UP' yang dilancarkan pada 9 April 2026. Dengan susunan muzik yang bertenaga, elemen punk-pop dan karakter persembahan yang penuh keberanian, kumpulan ini membawa sisi wanita yang lebih ekspresif, bebas dan tidak takut menjadi perhatian. Menerusi mesej tentang keyakinan, kegembiraan dan keberanian menjalani kehidupan tanpa teragak-agak, 'PINKY UP' mengajak pendengar untuk tidak terlalu terikat dengan batasan yang ditentukan orang lain. 

Girl Power Anthems
Visual Promosi Pinky Up dari Spotify

5. 'Nicole Kidman' – ADÉLA

Berani, glamor dan penuh karakter, ADÉLA menerusi 'Nicole Kidman' mempersembahkan sebuah karya yang meraikan keyakinan serta pesona seorang wanita. Lagu ini mengambil inspirasi daripada figura pelakon 'Nicole Kidman' menampilkan ADÉLA menghidupkan semula beberapa penampilan serta babak yang sinonim dengan perjalanan kerjaya Nicole. Lebih daripada sekadar penghormatan terhadap seorang figura terkenal, lagu ini meraikan wanita yang berani menonjolkan identiti, memiliki daya tarikan tersendiri dan tidak bergantung sepenuhnya kepada pengesahan orang lain untuk berasa yakin. Satu bentuk ekspresi feminin yang tidak meminta izin untuk bersinar.

Girl Power Anthems
Kulit Album PRIMA dari Spotify

6. 'It’s Me' – ILLIT

Mewakili sisi K-pop dalam senarai ini, kumpulan wanita ILLIT hadir dengan 'It’s Me', sebuah lagu dengan sentuhan techno yang bertenaga serta melodi yang mudah melekat di ingatan, lagu ini membawa naratif tentang keberanian menyatakan perasaan tanpa terlalu memikirkan tanggapan orang lain. Mengisahkan perasaan selepas janji temu pertama, ILLIT memperlihatkan sisi wanita muda yang lebih yakin untuk mengambil inisiatif dan menyuarakan kehendak sendiri. Walaupun dipenuhi karakter muzik yang ceria dan bersahaja, mesej keyakinan yang dibawanya cukup dekat dengan generasi muda hari ini. Menjadikan diri sendiri juga bermula dengan keberanian untuk berkata, ‘It’s me!’.

Visual Promosi It's Me dari Spotify

Daripada kisah mengenali harga diri, kebebasan membuat pilihan sehinggalah keberanian untuk mengekspresikan identiti, lagu-lagu ini memperlihatkan bahawa girl power anthems hadir dalam pelbagai bentuk dan tidak terikat pada satu naratif sahaja. Suara wanita tidak seharusnya diperkecilkan. Dan mungkin, inilah masanya untuk kita memperlahankan dunia seketika, memasang fon telinga dan membiarkan suara mereka bergema dengan lebih lantang.

Di Era AI, Prada Menghidupkan Magis Lukisan Tangan

Menyedari hakikat bahawa kecerdasan buatan (AI) semakin menguasai industri fesyen, perkembangan ini mencetuskan persoalan tentang nilai sentimental serta keaslian sesebuah karya. Dalam arus pemodenan yang semakin pantas, jenama fesyen global Prada tampil dengan pendekatan berbeza menerusi kempen 'Holiday 2026' yang mengangkat keindahan ilustrasi lukisan tangan.

Dibintangi pelakon seperti Sadie Sink, Chen Haoyu, Luther Ford, Kelvin Harrison Jr. dan Maya Hawke sebagai wajah kempen. Kempen ini seolah-olah mengangkat sentuhan manusia dan nilai seni masih mempunyai tempat tersendiri. Ketika jenama lain memanfaatkan AI untuk menghasilkan visual kempen, model digital dan konsep kreatif, Prada memilih untuk menghidupkan kembali magis seni manual sebagai medium penceritaan.

Prada
Gambar Ihsan Prada

Insan Di Sebalik Pemeliharaan Seni Prada

Mengangkat tema 'Drawing Prada: Animated by Hand', kempen ini memperlihatkan bagaimana seni lukisan tangan mampu mencipta sebuah dunia fantasi yang cukup mengagumkan. Di bawah arahan animator legenda John Pomeroy, setiap karakter dan latar animasi dihasilkan menerusi teknik lukisan tradisional menggunakan pensel dan kertas daripada fasa awal produksi.

Berpengalaman lebih lima dekad dalam industri animasi sinematik, Pomeroy bersama pasukan artisnya berjaya menghidupkan dunia imaginasi yang menggabungkan karakter manusia, haiwan fantasi serta persekitaran musim sejuk. Setiap ilustrasi bukan sekadar menjadi latar visual malah membawa penceritaan tersendiri yang memberikan identiti kepada keseluruhan kempen.

Prada
Gambar Ihsan Prada

Tidak ketinggalan, sentuhan jurugambar dan pengarah kempen ini, Glen Luchford turut memainkan peranan penting dalam menjayakan kempen ini. Setiap babak fotografi dirancang dengan teliti menerusi pencahayaan dan perspektif yang diselaraskan dengan ilustrasi lukisan tangan, sekali gus mewujudkan keharmonian antara dunia sebenar dan animasi.

Gabungan kedua-dua elemen ini menghasilkan visual yang seolah-olah membawa penonton memasuki sebuah buku cerita dongeng klasik. Mengambil inspirasi daripada pesona Hollywood lama dan kisah dongeng turun-temurun, kempen ini mengangkat emosi, pengalaman serta imaginasi manusia sebagai asas kepada penceritaannya. Menjadikan kempen ini berkebolehan menarik penonton daripada semua lapisan umur.

Di Sebalik Pemasaran, Ada Seni dan Penceritaan

Bagi Prada, setiap wajah yang membintangi kempen ini menjadi sebahagian daripada sebuah naratif visual yang berbeza. Kreativiti ilustrasi dan animasi membawa penonton merentasi dunia fantasi yang dipenuhi karakter haiwan serta persekitaran imaginatif.

Pendekatan ini memperlihatkan bagaimana Prada menggabungkan dua medium seni iaitu fesyen dan animasi bagi menghasilkan pengalaman visual yang lebih menyeluruh. Tidak sekadar mempamerkan koleksi, kempen ini turut membina hubungan antara karakter, suasana dan penceritaan yang menjadikan setiap babak lebih bermakna.

Bersempena koleksi 'Holiday 2026', Prada turut menggabungkan elemen fesyen musim dingin dengan latar fantasi yang menjadi identiti utama kempen. Daripada technical outerwear, knitwear berwarna-warni dan aksesori ikonik menampilkan koleksi ini dalam persekitaran ilustrasi yang penuh karakter.

Kehadiran haiwan-haiwan animasi yang berinteraksi dengan koleksi Prada memberikan dimensi baharu kepada cara fesyen dipersembahkan. Di sini, pakaian bukan sekadar menjadi subjek fotografi, sebaliknya sebahagian daripada sebuah penceritaan yang menggabungkan imaginasi, karakter dan estetika visual. Inilah nilai craftsmanship yang cuba diketengahkan Prada. Keindahan sesebuah karya bukan hanya terletak pada hasil akhir tetapi juga perjalanan kreatif yang membentuknya.

Masa Depan Fesyen Dalam Dunia AI

Beralih daripada pentas antarabangsa, Malaysia juga mempunyai bakat kreatif yang masih mengangkat seni ilustrasi sebagai sebahagian daripada identiti jenama. Antaranya menerusi kolaborasi UNIQLO bersama studio ilustrasi tempatan Bunga dan Bintang, diasaskan oleh ilustrator Kirin Sharom.

Prada
Gambar Ihsan Prada

Menerusi koleksi yang mengetengahkan elemen makanan dan budaya tempatan, ilustrasi lukisan tangan diterjemahkan ke dalam rekaan pakaian serta aksesori harian. Ilustrasi ikonik ini diterjemahkan kepada rekaan pakaian. Pendekatan ini memperlihatkan bagaimana ilustrasi bukan sekadar elemen dekoratif, malah mampu menjadi medium untuk menyampaikan identiti dan cerita sesebuah jenama.

Namun begitu, persoalannya adalah sejauh manakah pendekatan seni ini terus diberikan ruang dalam pasaran tempatan? Dalam landskap pemasaran yang semakin kompetitif, penghasilan visual secara pantas mungkin menjadi keutamaan. Sedangkan, kerjasama bersama ilustrator dan artis tempatan mampu memberikan nilai tambah dari sudut keaslian, identiti serta penghargaan terhadap bakat kreatif. Seni lukis tangan bukanlah pendekatan yang ketinggalan zaman, sebaliknya sebuah kemahiran yang wajar terus dipelihara dan diberikan pengiktirafan.

Akhirnya, pendekatan Prada menerusi kempen Holiday 2026 membuka ruang untuk kita melihat semula hubungan antara teknologi dan kreativiti manusia. AI sememangnya menawarkan kemudahan serta mempercepatkan proses penghasilan kandungan, namun imaginasi, perspektif dan sentuhan manusia tetap mempunyai nilai tersendiri.

Keberanian Prada mengangkat animasi tradisional sebagai nadi utama kempen ini membuktikan bahawa seni konvensional masih mampu berdiri seiring dengan perkembangan teknologi moden. Andai nilai dan kemahiran ini tidak terus dipelihara, kita mungkin kehilangan sebahagian daripada keunikan yang menjadikan setiap karya begitu istimewa. Kerana pada akhirnya, bukan sekadar hasil yang ingin kita nikmati tetapi juga cerita, usaha dan jiwa yang terkandung di sebaliknya.

Concealer Lips : Trend Bibir Pucat Y2K Kini Kembali!

Ada trend kecantikan yang kita sangka sudah lama ditinggalkan, tetapi akhirnya kembali menghiasi radar fesyen dan kecantikan. Kali ini, giliran concealer lips untuk mencuri perhatian sekali lagi. Solekan bibir berona pucat yang cukup popular sekitar era 2000-an ini kembali menjadi bualan, membuktikan bahawa dunia kecantikan sememangnya tidak pernah kehabisan inspirasi daripada masa lalu. Daripada skinny brows hingga ke frosted eyeshadow, estetika Y2K kini kembali mendapat tempat dalam dunia kecantikan.

Gambar : Instagram @indenavarrette

Trend Y2K Yang Kembali Menghiasi Dunia Kecantikan

Tidak hairanlah apabila gaya bibir nude yang pernah menjadi kegemaran ramai turut menerima perhatian baharu. Bagi yang mungkin kurang familiar, concealer lips merujuk kepada teknik solekan bibir menggunakan concealer atau produk bibir berwarna nude yang hampir menyerupai tona kulit. Hasilnya, bibir kelihatan lebih pucat seolah-olah warna semula jadinya disamarkan. Trend ini pernah menjadi pilihan ramai selebriti dan ikon fesyen pada awal 2000-an. 

Gambar : Instagram @maccosmetics

Mengapa Concealer Lips Kembali Popular?

Tidak dinafikan, kebangkitan estetika Y2K memainkan peranan besar dalam membawa semula trend kecantikan era 2000-an. Selain itu, populariti solekan minimalis dan clean girl makeup turut membuka ruang kepada bibir berona nude. Penampilan yang ringkas, segar dan tidak terlalu sarat dengan warna menjadikan concealer lips pilihan menarik untuk mereka yang gemarkan solekan bersahaja. 

Gambar : Instagram @kimkardashian

Media sosial juga menjadi platform yang menghidupkan semula trend ini menerusi pelbagai inspirasi solekan daripada pempengaruh digital kecantikan. Namun, berbeza dengan versi asalnya yang sering menghasilkan bibir terlalu pucat, versi terbaharu hadir dengan pendekatan lebih lembut dan mudah disesuaikan mengikut gaya masing-masing.

Cara Menggayakan Concealer Lips Dengan Lebih Moden

Jika anda ingin mencuba trend ini, rahsianya adalah pada keseimbangan warna. Mulakan dengan menyediakan bibir menggunakan lip balm supaya permukaannya kekal lembap dan tidak kelihatan merekah. Kemudian, gunakan sedikit concealer atau produk bibir berona nude untuk menghasilkan warna asas yang lebih neutral. 

View this post on Instagram

A post shared by Maybelline New York (@maybelline)

Untuk hasil yang lebih berdimensi, tambahkan sedikit lip liner berona coklat atau nude pada bahagian tepi bibir. Teknik ini bukan sahaja memberikan definisi, malah membantu mengelakkan bibir kelihatan terlalu rata. Akhiri dengan sapuan lip gloss untuk mendapatkan kemasan berkilau yang cukup sinonim dengan estetika Y2K

Trend Lama, Beauty Statement Baru

Gambar : Instagram @lararaj

Seperti kebanyakan trend kecantikan yang kembali popular, concealer lips membuktikan bahawa gaya lama sentiasa mempunyai ruang untuk berevolusi. Tidak semestinya perlu mengikut gaya asal sepenuhnya, sebaliknya anda boleh menyesuaikannya mengikut tona kulit, pilihan warna dan personaliti sendiri. Siapa sangka, trend yang pernah kita tinggalkan ini bakal menjadi pilihan baharu dalam beg solekan?

Madonna, Dua Lipa & JISOO: Nama-Nama Besar Yang Bakal Memeriahkan Coachella 2027

Gambar Instagram @coachella

Setiap tahun, Coachella menjadi lebih daripada sekadar festival muzik. Ia merupakan pentas pertemuan budaya pop, fesyen dan muzik yang menghimpunkan peminat dari seluruh dunia. Untuk edisi 2027, festival ikonik ini kembali dengan barisan artis yang menggabungkan nama besar industri muzik antarabangsa, legenda pop serta bintang K-pop yang semakin mengukuhkan pengaruh global mereka.

Coachella Valley Music and Arts Festival 2027 bakal berlangsung selama dua hujung minggu, iaitu pada 9 hingga 11 April dan 16 hingga 18 April 2027 di Empire Polo Club, Indio, California. Antara yang menjadi tumpuan utama ialah Dua Lipa, Tame Impala dan SZA sebagai tiga headliner festival tahun ini.

Madonna Kembali, Bersama Deretan Ikon Muzik Antarabangsa

Gambar Instagram @madonna

Salah satu kejutan terbesar dalam pengumuman kali ini pastinya kehadiran Madonna. Ikon pop itu bakal membuat penampilan di Dance Tent, mengimbau kembali hubungannya dengan Coachella menerusi persembahan pada 2006 ketika era album Confessions on a Dance Floor.

Selain Madonna, Dua Lipa, Tame Impala dan SZA bakal mengetuai persembahan mengikut hari masing-masing. Barisan ini turut diserikan dengan nama seperti Zara Larsson, Steve Lacy, Phoebe Bridgers, Weezer, Robyn, Kehlani, Måneskin, Don Toliver dan The Neighbourhood.

Gambar Instagram @peggygou_

Buat peminat muzik elektronik pula, kehadiran Peggy Gou, Tiësto, Martin Garrix, Kygo dan Dom Dolla pastinya menambah keterujaan. Malah, Daddy Yankee turut diberikan slot khas dengan produksi tersendiri, menjadikan barisan tahun ini lebih merentas genre.

Gelombang K-Pop Terus Menguasai Pentas Coachella

Pengaruh K-pop di pentas antarabangsa bukan lagi sesuatu yang asing, dan Coachella 2027 sekali lagi memberi ruang kepada artis Korea Selatan untuk mencuri perhatian.

JISOO bakal membuat penampilan menerusi karier solonya pada 9 dan 16 April, manakala NCT dijadualkan beraksi pada 10 dan 17 April. Kumpulan wanita BABYMONSTER pula bakal mengambil alih pentas pada 11 dan 18 April.

Gambar Instagram @babymonster_ygofficial

Turut melengkapkan barisan dari Korea Selatan ialah Leenalchi, kumpulan muzik yang terkenal dengan gabungan elemen pop dan pansori, seni nyanyian tradisional Korea. Kehadiran nama-nama ini memperlihatkan kepelbagaian muzik Korea yang kini semakin mendapat tempat di pentas global.

BTS Tidak Tersenarai, Walaupun Hangat Diperkatakan

Gambar Instagram @bts.bighitofficial

Pastinya, satu nama yang mencuri perhatian kerana ketiadaannya ialah BTS. Sebelum barisan rasmi diumumkan, spekulasi mengenai kemungkinan kumpulan sensasi itu menjadi antara headliner Coachella 2027 hangat diperkatakan dalam kalangan peminat.

Bagaimanapun, senarai rasmi yang diumumkan tidak menyertakan nama BTS. Ketiadaan mereka pastinya menimbulkan kekecewaan dalam kalangan ARMY yang mengharapkan peluang untuk menyaksikan kumpulan itu beraksi di pentas festival muzik berprestij tersebut.

Ulasan 'Style Wars': 72 Individu, Satu Takhta Fesyen

Dalam dunia fesyen, gaya peribadi bukan sahaja tentang apa yang disarungkan pada tubuh tetapi bagaimana seseorang menterjemahkan identiti, perspektif dan keberanian menerusi setiap penampilan. Membawa falsafah tersebut ke pentas pertandingan, siri terbaru 'Style Wars' menghimpunkan 72 peserta daripada pelbagai latar belakang. Kesemuanya bermatlamatkan merebut gelaran individu paling bergaya. Menariknya, barisan peserta bukan hanya terdiri daripada individu yang berpengalaman dalam dunia fesyen. Sebaliknya, pertandingan ini turut membuka ruang kepada pemilik jenama, penata gaya, model, pelajar universiti, pencipta kandungan, pereka fesyen, pengarah kreatif, pengurus kecantikan serta figura industri K-pop. Kepelbagaian latar belakang ini menjadikan setiap peserta hadir dengan interpretasi gaya yang tersendiri.

Gambar Ihsan Disney

Pesona Lee Hyeri, bekas penyanyi kumpulan Girl's Day selaku pengacara pertandingan ini. 'Style Wars' menawarkan hadiah utama sebanyak 100 juta won kepada pemenang. Namun, perjalanan menuju takhta fesyen bukanlah sesuatu yang mudah apabila setiap penampilan perlu melepasi penilaian barisan juri berpengalaman. Antara nama yang menggalas tanggungjawab tersebut ialah Hong Jin-kyung. Seorang model dan personaliti televisyen. Jung Wook-jun, pereka fesyen Korea Selatan yang mempunyai pengaruh di persada antarabangsa. Bae Jung-nam, model veteren dan figura fesyen yang cukup dikenali dengan penampilannya. Choi Sil-jang seorang jurugaya terunggul Korea Selatan yang turut membawa perspektif tersendiri dalam penilaian gaya.

Challenge 0: 12 Terselamat

Sebelum cabaran sebenar bermula, Style Wars terlebih dahulu menguji naluri fesyen para pesertanya menerusi 'Challenge 0'. Dalam penilaian awal ini, 72 peserta perlu mempertaruhkan penampilan pertama dan identiti gaya masing-masing untuk memikat hati barisan juri. Namun, hanya 12 individu berjaya meraih perhatian dan memperoleh kelebihan untuk melangkah ke tugasan seterusnya. Antara yang berjaya mencuri perhatian termasuk bekas idola K-pop, model veteran berusia 71 tahun serta peserta berimej gothic yang tampil dengan estetika tersendiri. Kehadiran mereka membuktikan bahawa fesyen tidak mengenal batas usia, latar belakang mahupun definisi kecantikan konvensional. Setiap individu hadir dengan bahasa gaya yang berbeza, tetapi persoalannya, sejauh mana identiti tersebut mampu bertahan apabila kreativiti mula diuji?

Gambar Ihsan Disney

Melepasi 'Challenge 0' hanyalah permulaan. Dengan persaingan yang semakin sengit, peserta kini perlu membuktikan bahawa gaya mereka bukan sekadar memukau pada pandangan pertama, tetapi cukup berani untuk mencabar norma dan melangkaui jangkaan juri.

'Challenge 1': Vintaj, Kreativiti dan Eksperimen

Antara cabaran awal yang mencuri perhatian ialah tugasan berkonsepkan fesyen vintaj. Lambakan pakaian vintaj seberat 9,071 kilogram disediakan daripada kilang perlu dipilih, diubah suai dan menggabungkan helaian pakaian mengikut interpretasi masing-masing. Malah, mereka turut perlu menentukan sendiri gaya solekan yang bersesuaian bagi melengkapkan penampilan. Namun, cabaran tersebut bukan sekadar menguji kebolehan peserta menyusun pakaian. Mereka perlu menghasilkan penampilan yang mempunyai karakter tersendiri dalam tempoh masa satu jam, sekali gus menambahkan tekanan kepada peserta untuk membuat keputusan dengan pantas.

View this post on Instagram

A post shared by Disney+ Philippines (@disneyplusph)

Sistem penyingkiran pula menjadikan setiap penilaian lebih mendebarkan. Peserta perlu mendapatkan sekurang-kurangnya tiga undian juri untuk meneruskan perjalanan. Dua undian meletakkan mereka dalam senarai menunggu, manakala satu undian sahaja bermakna perjalanan mereka berakhir. Menerusi cabaran ini, seramai 36 peserta terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada pertandingan. Angka tersebut membuktikan bahawa memiliki pakaian berjenama atau mengikuti trend semasa semata-mata belum cukup untuk membuktikan kelebihan seseorang dalam dunia fesyen.

Apabila Gaya Peribadi Menjadi Senjata

Apa yang menjadikan 'Style Wars' menarik ialah bagaimana pertandingan ini mengangkat fesyen sebagai satu bentuk ekspresi diri, bukannya perlumbaan untuk menghasilkan penampilan paling mahal atau mengikut trend terkini. Setiap peserta mempunyai peluang untuk memperlihatkan perspektif masing-masing tetapi mereka juga perlu memahami bahawa kreativiti hadir bersama keberanian mengambil risiko. Ada waktunya, seseorang perlu meninggalkan keselesaan gaya peribadi untuk meneroka sesuatu yang lebih asing dan tidak dijangka. 'Style Wars' bukan hanya tentang siapa yang paling bergaya, tetapi siapa yang benar-benar mampu membuktikan bahawa gaya mempunyai identiti, pemikiran dan cerita tersendiri.

Style Wars
Gambar Instagram @disneyplusmy

Sudahkah anda bersedia untuk menyaksikan pertarungan gaya yang bakal mencetuskan perbualan dalam dunia fesyen Korea Selatan? 'Style Wars' mula ditayangkan pada 11 November 2026 menerusi Disney+ dengan keseluruhan 10 episod. Dua episod baharu akan dilancarkan setiap hari Rabu, menjadikan pertandingan ini sebuah tontonan mingguan sehingga episod kemuncaknya pada 9 Disember 2026. Dengan hadiah utama bernilai 100 juta won, 72 peserta dan pelbagai cabaran yang menguji kreativiti, 'Style Wars' menjanjikan perspektif baharu tentang bagaimana fesyen boleh menjadi medan ekspresi, identiti dan persaingan.

Picture Perfect: 10 Spot Photobooth untuk Anda Terokai

Dalam era swafoto dan filter digital, photobooth menawarkan alternatif menarik untuk merakam kenangan. Dengan latar kreatif, pose spontan dan photo strip yang boleh dibawa pulang, aktiviti ini semakin menjadi sebahagian daripada gaya hidup Gen Z. Jika anda sedang merancang outing bersama bestie, berikut 10 spot photobooth yang wajib masuk dalam senarai kunjungan anda!

Rune Photobooth

Gambar : Instagram @rune.foto

Lokasi: APW Bangsar

Harga: Bermula RM20 untuk dua photo strip

Jadikan Rune Photobooth salah satu persinggahan ketika meluangkan masa di Bangsar. Dengan harga bermula RM20 untuk dua photo strip, anda boleh merakam momen spontan bersama rakan dan membawa pulang kenangan kecil daripada hari tersebut.

The Fotopot

Gambar : Instagram @thefotopot

Lokasi: Jam PJ

Harga: RM20 seorang

Jika anda pula pencinta estetika vintage The Fotopot pasti menarik perhatian. Selain pengalaman photobooth klasik, mereka turut memperkenalkan Tear Photo Strip yang memberikan kelainan kepada cetakan foto. Pilihan menarik untuk menambah sentuhan nostalgia dalam koleksi peribadi anda.

Hana Film

View this post on Instagram

A post shared by BeLocal Kuala Lumpur (@belocal.kualalumpur)

Lokasi: Lot 10, Bukit Bintang

Harga: RM20 untuk dua photo strip, RM30 untuk flip book

Bagi yang mahukan pengalaman yang lebih interaktif, Hana Film membawa pengalaman bergambar ke tahap berbeza dengan empat bilik berkonsepkan dapur, ruang makan, lif vintage dan dinding polos. Setiap ruang menawarkan suasana tersendiri untuk bereksperimen dengan pose. Untuk sesuatu yang lebih interaktif, cuba flip book mereka yang mengabadikan pergerakan dalam bentuk cetakan kecil.

Click

Gambar : Instagram @clickphotobooth.my

Lokasi: The Five @ KPD

Harga: RM20 untuk dua photo strip

Click mencuri perhatian dengan ciri yang membolehkan pengunjung menukar langsir latar mengikut pilihan sendiri. Mahukan suasana berbeza untuk setiap sesi? Tidak seperti photobooth biasa, anda boleh menyesuaikan latar mengikut mood dan gaya, menjadikan setiap photo strip lebih peribadi.

A8eseconds

Gambar : Instagram @a8eseconds

Lokasi: PJ Trade Center, Damansara Perdana

Harga: Bermula RM20

Sudah lama berada dalam bucket list pencinta photobooth? A8eseconds boleh menjadi alasan untuk akhirnya merealisasikan rancangan tersebut. Ajak bestie, tetapkan pose kegemaran dan jadikan sesi bergambar ini sebahagian daripada rancangan hujung minggu anda.

Anddsnap

Gambar : Instagram @anddmoments

Lokasi: Fahrenheit 88, Bukit Bintang

Harga: Bermula RM10 untuk dua photo strip

Anddsnap menawarkan lebih daripada cetakan foto biasa. Selain photo strip, pengunjung boleh meneroka pilihan seperti loket diperibadikan dan foto gaya polaroid dengan empat tangkapan. Menariknya, dengan harga bermula RM10 untuk dua photo strip, ia pilihan mesra bajet untuk mereka yang mahu membawa pulang kenangan dalam pelbagai bentuk.

Nostalgia Newsphoto

View this post on Instagram

A post shared by KL Foodie (@kl.foodie)

Lokasi: KL Riverbank

Harga: Bermula RM15 untuk sekeping foto

Bagi yang mahukan latar berbeza daripada studio biasa, Nostalgia Newsphoto menawarkan pengalaman bergambar dengan pemandangan KL Riverbank. Dengan harga bermula RM15 untuk sekeping foto, spot ini memberikan peluang untuk mengabadikan momen dengan suasana bandar sebagai latar.

Dear Memories

Gambar : Instagram

Lokasi: Jalan Sultan, Kuala Lumpur

Harga: RM25 untuk dua photo strip, RM15 untuk satu keychain

Dengan suasana kafe photobooth yang dreamy, Dear Memories menawarkan dua bilik bertema, iaitu Museum Room dan Garden Room. Lokasinya juga boleh diakses menggunakan pengangkutan awam, menjadikannya persinggahan menarik ketika meneroka pusat bandar. Selain photo strip, jangan lupa pertimbangkan keychain foto sebagai aksesori sentimental yang boleh dibawa ke mana-mana.

Sun Snap

Gambar : Instagram

Lokasi: The Campus, Ampang

Harga: RM15 untuk dua photo strip

Sun Snap menawarkan pilihan photobooth pada harga RM15 untuk dua photo strip. Lebih menarik, terdapat mesin layan diri filem Kodak bersebelahan photobooth ini. Bagi pencinta fotografi analog, ini peluang untuk meneroka lebih daripada sekadar foto kendiri dalam satu persinggahan.

Plan. B Studio

View this post on Instagram

A post shared by SuperKL (@superkualalumpur)

Lokasi: Pavilion Bukit Jalil

Harga: Bermula dari RM20

Plan. B Studio menawarkan tiga konsep bilik, iaitu high angle, elevator dan subway. Setiap latar memberikan mood berbeza untuk anda mencuba pelbagai gaya dalam satu sesi. Sesuai untuk mereka yang gemarkan foto dengan suasana urban dan variasi pose.

Kenangan di Sebalik Setiap Bingkai

Daripada bilik bertemu kreatif hingga pemandangan bandar, setiap spot menawarkan cara tersendiri untuk merakam momen bersama orang tersayang. Jadi, ajak bestie, pilih pose kegemaran dan mulakan photobooth crawl anda. Kadangkala, kenangan paling manis bermula dengan sekeping foto spontan.

Senarai Pemenang Grand Prix d’Horlogerie de Genève (GPHG) 2026

Pemenang Grand Prix d’Horlogerie de Genève (GPHG) 2026.

Grand Prix d’Horlogerie de Genève (GPHG) kembali berlangsung dengan penuh prestij tahun ini di Bâtiment des Forces Motrices. Bagi edisi ke-26, acara ini menghimpunkan pengamal dunia horologi serta tokoh kreatif yang menciptakan impak besar dalam dunia horologi kontemporari.

GPHG tahun ini memperkenalkan tiga kategori baru seperti Essential, Complication dan Gemset bagi menggantikan pembahagian kategori berasaskan jantina sebelun ini. Ia sekali gus mengalihkan fokus pertandingan kepada perincian dan keunikan jam tangan itu sendiri.

Secara keseluruhan tahun ini menyaksikan sebanyak 84 jam tangan yang dicalonkan dalam 14 kategori bersaing untuk merebut 20 anugerah yang disampaikan sepanjang malam tersebut. Berikut senarai pemenang tahun ini:

Rexhep Rexhepi

Aiguille d’Or Grand Prix – REXHEP REXHEPI Chronograph Flyback
Time Only Watch Prize – CHOPARD L.U.C 1860
Essential Watch Prize – DANIEL ROTH Extra Plat Rose Gold Skeleton
Mechanical Exception Watch Prize – BLANCPAIN Grande Double Sonnerie
Chronograph Watch Prize – PARMIGIANI FLEURIER Tonda PF Chronographe Mystérieux
Sports Watch Prize – GRAND SEIKO Spring Drive U.F.A. Ushio 300 Diver

Artistic Crafts Watch Prize – LOUIS VUITTON Tambour Taiko Arty Automata
“Petite Aiguille” Prize – OTSUKA LOTEC No.8
Iconic Watch Prize – AUDEMARS PIGUET Royal Oak Jumbo Extra-thin Selfwinding Flying Tourbillon Chronograph RD#5 150th Anniversary
Complication Watch Prize – CLEGUER Inspiration One
Chronometry Prize – FERDINAND BERTHOUD Naissance d’une Montre 3
Audacity Prize – KONSTANTIN CHAYKIN ThinKing Mystery

Ulasan Filem 'Baga: Esok Untuk Siapa'

Baga: Esok Untuk Siapa

Ketika "Good Boys Go to Heaven" bersiaran pertengahan tahun ini, Ariff Zulkarnain bagai sudah memberi satu siren bahawa dia siap untuk menakluk pasaran penerbitan filem dengan standard kualiti yang berbeza. Pendekatan drama sebagai jaluran utamanya kuat lewat penceritaan dengan gaya pengarahan berarah pada visual yang puitis.

Hal ini sebetulnya sudah dia hidangkan buat kita dalam penghasilan filem pendek "Laut Tak Biru Di Seberang Takir" kira-kira tiga tahun sudah. Kali ini masih berpaksi pada penceritaan, perwatakan dan susunan plot yang menarik, Ariff hadir dengan filem cereka perdana arahannya, "Baga: Esok Untuk Siapa"

Amir Ahnaf dan Amirah Razak mendepani filem ini sebagai pengemudi cerita sebelum bersilang konflik dan kekacauan yang membelenggu menerusi watak yang dibawa mereka sebagai Jani dan Melur. Sebagai pengarah, Ariff membentuk filem ini dengan mengukuhkan akar pada naratif cerita dengan pengenalan perwatakan yang sangat jelas.

Amir Ahmaf dan Amirah Razak

Alur Cerita "Baga: Esok Untuk Siapa"

Mengambil latar Kuala Terengganu dengan cetera Jani dan Melur sepasang kekasih yang terlanjur akan cinta (disebut nafsu) yang disemai. Keputusan untuk 'melepaskan' bayi yang dikandung Melur mendesak Jani mencari tahu jalan terbaik dan cepat untuknya mendapatkan wang. Atas premis ini, 'Baga' dibentuk dengan penceritaan yang penuh emosi.

Ariff menyusun plot filem ini dengan tidak terburu-buru. Tempo dijaga sebaiknya dengan jalan cerita yang tidak kompleks tetapi masih berbekas konflik yang menjawab segala persoalan. Ia bernadi sebagai sebuah naskhah realisme sosial yang membentang isu kemiskinan, desakan dan keterbatasan pilihan yang ada untuk sebuah kelangsungan hidup.

'Tension' yang dicipta datang pada masa yang tepat dengan gaya penceritaan berlapis di penghujung filem. Ia menyatu sebagai sebuah pengalaman visual yang sangat cantik di layar lebar bersama lensa kreatif Tan Teck Zee, setiap satunya dibingkai menepati kehendak cerita dan feel yang tepat.

Dalam beberapa babak yang membekas kesan, antara yang menarik perhatian saya adalah ketika Jani dan Melur di jeti setelah membuat keputusan untuk menggugurkan bayi yang dikandung. Ada momen yang cukup sepi dan kosong dibingkaikan dengan emosi yang berat dan ia begitu hidup dengan skor muzik Irena Taib.

Lewat persembahan lakonan, Amirah Razak memperlihatkan potensi besar dengan begitu bersahaja dan meyakinkan. Tiada babak dalam pengucapannya tersia atau kelihatan canggung. Watak Melur yang digambarkan naif dan sederhana itu menjadi berat emosi dan digalas dengan secukupnya.

Amir Ahnaf tidak mengecewakan. Dia begitu menyatu dalam roh Jani daripada awal filem bermula ke hujungnya. Peranan Jani menjadi semakin sukar ke penghujung filem. Daripada harus mendepani Pak Awang sehingga melihat Ajih dibedik dan Melur yang hampir dirogol - Amir mentafsir sebaiknya dalam lakonannya.

"Baga: Esok Untuk Siapa" sebuah filem yang lengkap bagi saya. Daripada sudut penceritaan, perwatakan, konflik yang dibentuk sehingga kepekaan Ariff dalam membentuk filem ini dengan potongan puisi T. Alias Taib menjadikan kita yang belum pernah membaca "Seberkas Kunci" (1985) menjadi dekat dengan kesusateraan Melayu.

Saya masuk ke panggung tanpa ada pengetahuan yang luas tentang naratif cerita ini dan sejujurnya saya teruja hanya kerana mahu melihat apa yang mahu ditawarakan sang sutradara. Dan Ariff membuat saya keluar panggung dengan tersenyum puas melihat hasil filem ini yang berhujung dengan cukup sebak dan solid. Ini mungkin filem tempatan terbaik yang kita ada tahun ini.

Bingkisan Hujung Tahun TUDOR

Bersempena sambutan perayaan hujung tahun, TUDORmeraikan dengan pilihan jam tangan terbaru yang mengangkat gaya tersendiri dan ketepatan jenama. Daripada pilihan 'Black Bay 58 GMT', 'Black Bay 58 “Burgundy” yang berani, 'TUDOR Monarch' yang ikonik hingga 'TUDOR Royal' yang sporty dan elegan.

Setiap koleksi menggabungkan warisan jenama ini dengan prestasi serta reka bentuk yang abadi. Apa yang terhasil adalah sebuah ilham bungkisan yang cukup istimewa untuk digayakan bukan sahaja sepanjang musim perayaan malah untuk tahun-tahun mendatang.

Black Bay 58 GMT

Black Bay 58 GMT diinspirasikan daripada era pengembaraan merentasi zon waktu yang sinonim dengan gaya glamor dan elegan. Ia hadir dengan pensijilan Master Chronometer serta bezel bernuansa burgundy, hitam dan rona keemasan. Kini, reka bentuk bekas ikonik Black Bay 58 tampil dengan fungsi GMT yang membawakan sentuhan praktikal.

Black Bay 58 “Burgundy”

Menampilkan bekas berdiameter 39mm yang mengekalkan rekaan klasik era 1950-an. Black Bay 58 “Burgundy” menyerlah dengan dail berkilauan halus serta bezel rona serupa. Ia dilengkapkan gelang lima pautan dan kancing T-fit untuk pelarasan pantas dan memudahkan pemakaian yang lebih optimum.

TUDOR Royal

Koleksi klasik TUDOR yang menggabungkan gaya sporty dan elegan. Bezel direka semula dengan gilapan yang menyerlahkan penampilan bekas jam yang lebih sofistikated. Model 30mm keluli tahan karat dan emas kuning ini turut menawarkan rizab kuasa selama 50 jam untuk prestasi sepanjang hujung minggu.

TUDOR Monarch

Menggabungkan warisan lebih satu abad dengan sentuhan reka bentuk klasik TUDOR. Menampilkan bekas dan gelang bersegi halus serta dail dengan gabungan angka Roman dan Arab yang unik. TUDOR Monarch menyerlahkan karakter tersendiri dalam koleksi jenama ini.

ELLE Breakfast Club Bersama Offspring dan Tanamera Menghimpunkan Peminat Kecantikan untuk Ritual Pagi Sempurna

ELLE Breakfast Club kembali menyemarakkan pagi dengan menghimpunkan peminat kecantikan dalam sebuah sesi istimewa yang meraikan ritual penjagaan diri bersama Offspring dan Tanamera.

Antara tetamu yang hadir, Nia Atasha dan Azureen Sophia

Mungkin nama Offspring lebih sinonim dengan keperluan bayi dan kanak-kanak, namun jenama ini turut menawarkan produk yang boleh menjadi pelengkap kepada rutin penjagaan diri golongan dewasa. Dengan formulasi berasaskan tumbuh-tumbuhan, produk penjagaan bayi tertentu juga boleh digunakan oleh orang dewasa.

Antara produk yang mencuri perhatian ialah tisu basah Offspring. Lebih daripada sekadar keperluan ketika menukar lampin, tisu basah ini juga boleh menjadi teman praktikal dalam rutin harian, termasuk ketika membersihkan wajah. Persoalannya, bilakah waktu yang sesuai untuk menjadikannya sebahagian daripada rutin kecantikan anda?

Koleksi tisu basah daripada Offspring hadir dalam pelbagai saiz

Bayangkan saat anda perlu menanggalkan solekan ketika berada di luar rumah, membersihkan wajah sebelum menunaikan solat atau menyegarkan diri selepas sesi larian pagi mahupun petang bersama teman-teman. Dalam situasi sebegini, tisu basah boleh menjadi pilihan praktikal untuk membantu membersihkan kulit sebelum anda meneruskan rutin penjagaan wajah yang seterusnya.

Jadi, mengapa tisu basah Offspring menjadi antara sorotan utama di ELLE Breakfast Club? Selain kemudahannya untuk dibawa ke mana-mana kerana jenama ini kini hadir dalam versi mini (travel size), formulasi yang direka untuk kulit bayi menjadikannya pilihan yang menarik untuk dibincangkan, khususnya bagi mereka yang mempunyai kulit sensitif.

Encik Faisal Fadzil, Ketua Pegawai Inovasi SEDANIA Group dan Pengasas Bersama Tanamera

Bertempat di ĀMANÏ Biohacking Wellness, sesi pagi itu dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Pengarah Kecantikan ELLE Malaysia, Amira Azman, diikuti oleh Encik Faisal Fadzil, Ketua Pegawai Inovasi SEDANIA Group merangkap Pengasas Bersama jenama Tanamera. Acara kemudian diteruskan dengan sesi masterclass bersama jurusolek profesional, Ahmadani, yang berkongsi teknik dan tip mengaplikasikan gincu bibir dengan betul bagi mendapatkan hasil solekan yang lebih kemas dan sempurna.

Tetamu ELLE Breakfast Club tekun mendengar sesi pengenalan bersama Encik Faisal

Offspring

Antara sorotan utama acara ialah sesi Get Unready With Me atau Beauty Reset bersama Offspring dan Tanamera. Sesi ini dimulakan dengan penggunaan The Wonder Oil bersama tisu basah daripada Offspring, iaitu kombinasi yang membantu menanggalkan solekan pada bibir dengan lembut. Bercerita tentang tisu basah Offspring ini, ia telah diformulasikan dengan 99 peratus air tulen dan 100 peratus selulosa tumbuhan yang terbiodegradasi serta bebas daripada 46 bahan kimia keras sesuai buat kulit sensitif.

Offspring

Tetamu yang hadir mencuba The Wonder Oil dan tisu basah daripada Offspring

Manakala The Wonder Oil pula tidak kurang hebatnya, ia merupakan minyak serbaguna buat kulit dan rambut. Diformulasikan dengan 98.75 peratus bahan yang diperakui organik serta bebas gluten dan kekacang, minyak ini membantu melembapkan kulit secara intensif dan memberikan keselesaan kepada si pemakai.

Para tetamu turut berpeluang mencuba sendiri kedua-dua produk ini dan merasai tekstur serta keberkesanannya. Rata-rata tetamu menyukai ketebalan tisu yang tidak mudah koyak, selain teksturnya yang lembut dan selesa apabila digunakan pada bibir.

“Saya sukakan kualiti tisu daripada Offspring kerana ia tebal,” kata pelakon, Arena Wan.

Rangkaian penjagaan kulit wajah dan badan istimewa daripada Tanamera

Acara diteruskan dengan aktiviti DIY skrub bibir bersama Tanamera, yang memperkenalkan penggunaan bahan-bahan semula jadi dan pati minyak kelapa dalam menghasilkan skrub bibir. Bukan itu sahaja, para tetamu turut diperkenalkan kepada rangkaian penjagaan wajah Tanamera, sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk meneroka rutin penjagaan kulit yang menyeluruh selepas menanggalkan solekan.

Offspring

Arena Wan

Set DIY skrub bibir yang disediakan oleh Tanamera untuk para tetamu

Lily Fessy, antara pembaca ELLE yang hadir dan Kid Khodi bersama hasil DIY skrub bibir mereka

Layari laman rasmi Offspring dan Tanamera untuk mendekati lebih lanjut tentang produk daripada mereka.