Berawal sebagai sebuah pejabat kesihatan ketika era 60-an, bangunan dengan fasad kaca yang setinggi 21 meter ini menemukan hayat barunya daripada keajaiban pandangan jurubina, Pauline Borgia yang memiliki visi berbeza. “Saya menemukan keindahan tersendiri daripada sudut pandang berbeza dengan struktur sedia ada pada bangunan ini.”
Menurut Pauline perkara pertama yang dia lakukan dalam pengubahsuaian ruang ini adalah dengan melihat perspektif yang boleh diolah. Deretan tingkap yang selari dengan ruang sederhana mampu menyatu menjadikan setiap satunya memiliki fungsi tersendiri. Ia bersesuaian untuk bergerak sebagai ruang pelbagai guna - daripada keperluan berkeluarga sehinggalah ruang kerja yang selesa atau aktiviti santai.
Tambah Pauline lagi, cabaran terbesarnya adalah untuk memastikan setiap ruang yang ada memiliki fungsi yang tersendiri tanpa ada sudut yang dibazirkan. “Pendekatan yang saya ambil adalah dengan melihat ruang ini seperti bot kecil yang menuntut kreativiti bagi mengoptimumkan setiap ruang yang ada.”
Bagi memberi dinamik pada ruang yang ada, platform digunakan untuk meninggikan aras bilik tidur. Hal ini juga bertujuan untuk memberi ilusi yang mampu membezakan sudut ruang tamu dengan bilik tidur supaya ia tidak kelihatan seperti berada pada satu aras yang sama.
Pemilihan materialnya mungkin kelihatan kontras tetapi melengkapi fungsi setiap satu daripadanya. Karpet yang melatari penuh ruang lantai dengan pemilihan kayu gelap dan siling putih biru menciptakan sesuatu yang berlawanan tetapi masih harmoni. Pemilihan perabot inspirasi 70-an dengan ilham seni bina yang ada menyatu sebagai sebuah ilham yang cukup elegan.
Pembahagi ruang berwarna biru menjadi sempadan meja makan dan ruang tamu utama. Meja kayu ditempah khas dengan perincian batu marmar disempurnakan dengan kerusi kayu berwarna merah ilham 70-an oleh Bruno Rey. Melekap di dinding pembahagi adalah bangku kayu panjang yang turut ditempah khas. Penggunaan karpet berfungsi sebagai pembahagi ruang. Pasu seramik daripada Rêverie.
“Permainan warna kontras pada dinding beralun pada ruang bilik air ini mencipta keterujaan.” Pauline Borgia bermain dengan warna dan bentuk dalam memberi ilham teaterikal pada ruang bilik air ini. Permainan warna kontras pada dinding beralun menerbitkan keterujaan yang tersendiri. Tiga warna yang disatukan dengan permainan cahaya membangkitkan mood bagi sesiapa sahaja yang melangkah masuk ke ruang ini.
Marmar kecil berwarna kuning yang disusun memenuhi dinding bahagian bathtub menjadi titik tumpu sudut kecil yang dibesarkan ideanya. Penggunaan material kayu pada ruang soleknya memberikan dinamik dekorasi penuh warna dan drama.
Oleh: Lisa Sicignano Teks: Loenitia Moller Fotografi: Jérôme Galland Ilustrasi: Clémence Monot Terjemahan: Hafizan Mohd